26 November, 2020

Tergempar! Harga Minyak Dunia Jatuh Hingga Paras Bawah $0/Tong

3 min read
Kongsikan artikel ini

Semalam, satu dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) di Amerika yang jatuh melebihi paras sifar per tong. Jika sebelum ini mungkin dalam $18 dollar per tong, tapi semalam telah mencecah hingga hampir -$40 per tong. Satu niai yang tidak pernah terjangkau dek akal fikiran kita.

Untuk makluman anda, minyak mentah WTI adalah sejenis dagangan hadapan (futures) yang mempunyai kontrak tamat tempoh. Pasaran Minyak Mentah WTI ini yang bakal tamat kontrak pada Mei 2020 telah menghadapi kesukaran apabila kekurangan volume.

Jom saya tunjukkan dengan anda mengapa situasi seperti ini terjadi.

Pada asalnya, harga sesebuah pasaran ini bergerak berdasarkan kepada supply dan demand iaitu di mana ada penawaran dan permintaan. Apa yang terjadi pada pasaran minyak mentah sebelum ini hingga jatuh ke paras $26 adalah disebabkan kerana Amerika beritahu yang dia ada sumber tenaga lain selain minyak yang boleh mnegurangkan kos pada minyak. Oleh sebab permintaan pada minyak berkurang, maka harga minyak jatuh.

Tapi apa yang jadi semalam bukan lagi disebabkan isu yang sama. Apa yang jadi semalam adalah apabila berlaku lambakan minyak tetapi tiada permintaan. Kenapa tiada permintaan sedangkan minyak merupakan sumber tenaga utama seluruh dunia?

Faktor utama yang menyebabkan permintaan terhadap minyak mentah merundum adalah disebabkan wabak Covid-19. Akibat wabak covid-19 yang melanda kebanyakan negara-negara besar termasuklah Malaysia, banyak negara terpaksa mengisytiharkan ‘lockdown’, atau di Malaysia kita keluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ia menyebabkan kebanyakan industri terpaksa berhenti dari beroperasi sepanjang tempoh tersebut.

Akibat banyak industri yang terhenti, maka banyaklah pengeluaran tidak berjalan. Oleh sebab itu permintaan terhadap minyak menurun. Namun, isu ini menjadi lebih teruk apabila berlaku peperangan antara Arab Saudi dan Rusia yang merupakan pengeluar minyak. Masing-masing tidak ingin mengalah dan menghentikan pengeluaran minyak hingga menyebabkan pengeluaran minyak melebihi dari permintaan.

Di mana minyak-minyak yang sudah siap diproses ini hendak disimpan? Apabila berlaku lambakan minyak, maka berlaku juga situasi tempat penyimpanan minyak yang tidak mencukupi hingga terpaksa mencari tempat lain dan kos penyimpanannya agak tinggi.

Bagi situasi mereka yang trade pada futures, ia tidak sama seperti trade pada pasaran spot. Jika order yang dilakukan tidak ditutup setelah kontrak tamat tempoh, maka bersiap sedialah untuk dia menerima minyak (fizikal) sampai ke alamatnya. Oleh sebab itu, bagi mengelakkan minyak mentah ini dihantar ke alamat mereka, mereka perlu menutup order mereka dengan menjualnya. Oleh sebab itu semalam banyak seller yang masuk. Masing-masing merasakan satu kerugian kerana kos untuk menampung penyimpanan minyak lebih mahal daripada se tong minyak yang mereka miliki.

Pada pendapat saya, demi menangani isu lambakan minyak mentah ini, salah satu pengeluar minyak terpaksa tutup dahulu pengeluaran minyak mentah mereka. Sama ada ditutup sementara, atau terpaksa tutup. Tapi apabila industri minyak ini ditutup akan memberi kesan besar di mana berlaku lambakan pengangguran. Oleh kerana industri minyak mentah ini mempunyai banyak sub di bawahnya seperti pelantar minyak, pemprosesan minyak ke jenis lain, dan macam-macam lagi. Akhirnya semua yang bekerja di bawah sub industri tersebut bakal hilang pekerjaan.

Situasi seperti ini akan menyumbang kepada Great Depression seperti yang pernah terjadi pada krisis sebelum-sebelum ini. Cuma krisis kali ini akan lebih teruk kesannya akibat daripada wabak Covid-19 yang belum menjumpai jalan penyelesaiannya. Jika masalah krisis yang hanya melibatkan kewangan, ia masih dapat ditangani kerana masing-masing masih lagi dapat bekerja dan menjalankan apa yang sepatutnya. Tapi wabak covid-19 ini telah menghentikan segala kegiatan tidak kira pekerjaan, mahupun lainnya dan terpaksa mengisolasi di rumah bagi mengelakkan penularan wabak menjadi lebih serius.

Seperti di Amerika sekarang yang mencatat statistik kes covid-19 paling tinggi berbanding negara lain dengan nilai peratusan 32%. Tidak mustahil kita bakal berdepan dengan krisis ekonomi dunia yang paling dahsyat sepanjang abad ini kerana inilah kali pertamanya kita berdepan dengan isu wabak, dan pertama kalinya juga harga pasaran minyak mencecah negatif dalam sejarah, dan barangkali pertama kalinya berdepan dengan krisis yang sangat teruk.

Mujur harga minyak di Malaysia disandarkan pada Brent Crude Oil, bukan WTI. Tapi, walaupun minyak tengah murah sekarang ni, tak dapat nak isi sebab tak dapat nak kemana-mana pun.