Mon. Dec 16th, 2019

6 Tips Ketika Ketiadaan Air

3 min read
Kongsikan artikel ini

Beberapa hari ni kita dikejutkan dengan notis mengenai ketiadaan air untuk tempoh beberapa hari kerana ada kerja-kerja pembaikan pada loji air bagi negeri Selangor. Sebelum ini juga ada beberapa tempat yang juga mengalami situasi yang sama.

Oleh itu, kami ingin berkongsikan kepada anda tips bagaimana untuk anda menghadapi krisis ketiadaan air ini. Mungkin ada yang dah tahu dan memang lakukan apa yang kami kongsikan ini. Tapi mungkin ada juga satu dua tips yang anda rasa sangat berguna dan tidak terfikir oleh anda sebelum ini.

1. Tadah Air Dalam Bekas

Setelah anda mendapat notis yang menyatakan kawasan anda adalah kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air, segera tadah air sebagai simpanan stok air anda ketika air tiada nanti.

Anda boleh tadah air dalam bekas bertutup, besen dan baldi, dalam botol-botol air atau bekas tupperwar yang sesuai. Seeloknya anda sediakan simpanan air yang mencukupi untuk tempoh ketiadaan air diwarwarkan.

Anda juga boleh mengkategorikan bekas-bekas tersebut kepada air yang akan digunakan untuk cucian, untuk bersihkan diri, untuk masakan, untuk wuduk dan lain-lain. Cara ini lebih mudah kerana anda telah asingkan siap-siap penggunaa air tersebut.

2. Beli Stok Air Minuman

 

Selain menyimpan air, anda juga boleh beli stok air minuman sebagai persediaan jika tempoh ketiadaan air tersebut memakan masa berhari-hari. Jika anda khuatir stok simpanan air anda tidak mencukupi, anda boleh beli air botol jenis 5liter dan air minuman 1.5liter beberapa kotak.

Stok air minuman ini boleh digunakan untuk anda minum dan untuk masakan. Bagi yang mempunyai anak kecil yang masih menyusu, adalah lebih baik anda gunakan air minuman berbanding air yang anda tadah di dalam bekas.

3.Sediakan Tisu Basah & Hand Sanitizer

Penggunaan tisu basah sebenarnya sangat membantu anda mengurangkan penggunaan air. Oleh kerana kita ini sering kali membasuh tangan, selepas makan, atau melakukan apa-apa kerja yang mengotorkan tangan, tisu basah sesuai dijadikan pengganti air. Begitu juga ia boleh digunakan untuk mencuci bahagian-bahagian penting yang lain.

Jika anda menyediakan sekali hand sanitizer, ia adalah bagus dalam menjaga kebersihan diri anda. Penggunaan hand sanitizer di hospital dan klinik sangat meluas kerana kawasan tersebut lebih terdedah dengan kuman. Jadi tidak salah untuk anda membiasakan diri menggunakan hand sanitizer ketika ketiadaan air kerana anda juga boleh mengelakkan daripada kuman atau bakteria yang merebak akibat penjagaan diri yang tidak bersih.

4. Jimatkan Penggunaan Air Sebaik Mungkin

Yang ni penting sebab selagi anda boleh menjimatkan penggunaan air, adalah lebih baik. Kurangkan penggunaan alatan dapur atau memasak yang memerlukan kepada anda membasuh. Mungkin anda boleh bertukar kepada beli makanan bungkus siap-siap dari luar, atau food delivery semasa ketiadaan air.  Atau anda boleh masak siap-siap dan bekukan untuk tempoh beberapa hari tersebut. Tinggal panaskan semula jika anda ingin makan.

Dari sudut pakaian pula, pastikan anda mempunyai pakaian bersih yang mencukupi untuk tempoh ketiadaan air. Kerana anda terpaksa menggunakan air yan banyak untuk mencuci pakaian.

Namun bagi yang mempunyai anak kecil, anda boleh basuh terus pakaian mereka dengan stok simpanan air untuk cucian. Cuci pakai tangan sahaja dan tinggal spin.

5. Listerene Pengganti Berus Gigi

Anda boleh gunakan listerene untuk berkumur-kumur sebagai pengganti berus gigi. Kerana penggunaan berus gigi dan ubat gigi memerlukan kepada penggunaan air untuk membilas mulut. Gunakan alternatif lain untuk jimatkan penggunaan air dengan menggunakan listerene.

6. Elakkan Makanan Telalu Pedas

Sepanjang ketiadaan air, anda boleh mengelakkan dari makan makanan yang terlalu pedas kerana pengambilan makan pedas boleh menyebabkan anda mengalami sakit perut.

Kami pasti ramai yang tersiksa untuk membuang air besar sekiranya tiada air. Lebih-lebih lagi bagi yang terpaksa berulang alik ke tandas. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda mengelak dari makan makanan yang terlalu pedas yang akan menyeksa perut anda.

Ini semua hanya sementara ketika ketiadaan air. Sepanjang menempuh hari-hari tanpa air paip, memang ia merupakan satu perkara yang merunsingkan. Akan tetapi, jika anda tahu bagaimana untuk membuat persiapan dan persediaan sepanjang proses tersebut, kami pasti anda akan dapat menghadapinya dengan lebih baik.

Jom kongsikan tips ini pada sahabat yang lain.

Sharing is caring kan..