12 Tips Cara Lebih Produktif di Tempat Kerja
Azam Tahun Baru?
Sempena tahun 2017 ini, sudah pasti kita ingin cuba untuk berubah menjadi lebih baik. Bagi anda yang bekerja, anda boleh tanamkan azam untuk bekerja dengan lebih produktif.
.
Sudah menjadi kebiasaan apabila kita berhadapan dengan situasi pekerjaan, lama-kelamaan kita akan mula rasa jemu dan otak kita juga akan mulai naik tepu.
.
Oleh itu, bagaimana untuk kita menghasilkan produtiviti yang lebih baik dan dapat bekerja dengan efisyen dan produktif?
.
.
Di sini terdapat 12 tips cara untuk lebih produktif di tempat kerja khusus untuk anda di luar sana yang berazam untuk mengubah cara kerja menjadi lebih baik.
.
1. Hias meja kerja
Anda boleh mulakan inisiatif azam tahun baru ini dengan menghias meja kerja anda mengikut citarasa peribadi anda.
.
Anda boleh letakkan gambar-gambar orang tersayang anda untuk tatapan dan pembakar semangat anda. Selain itu, anda juga boleh menampal kata-kata semangat atau pemberi rangsangan untuk anda bekerja lebih produktif.
.
Anda juga boleh menghias meja anda dengan meletakkan sepasu tanaman hijau untuk merangsang mata anda agar lebih relaks ketika anda bekerja. Ini boleh membantu anda merehatkan mata sebentar daripada terus menerus berada di bawah tekanan kerja atau cahaya uv dari komputer anda.
.
.
2. Senaraikan tugasan kerja yang ingin dilakukan
Anda boleh menyenaraikan tugasan kerja yang ingin dilakukan sebelum memulakan kerja samada secara harian atau secara mingguan. Ianya terpulang kepada anda.
.
Tetapi, cara yang paling bagus adalah anda membuat senarai tugasan kerja secara mingguan kerana dari situ anda sudah boleh nampak perjalanan tugasan kerja yang anda akan lakukan sepanjang satu minggu.
.
Selain itu, anda juga boleh masukkan sekali anggaran waktu bekerja bagi setiap tugasan kerja yang anda senaraikan. Hal ini lebih membantu anda memantau dan mengawal masa kerja anda daripada terbuang begitu lama untuk satu-satu tugasan.
.
Di dalam anda membuat senarai tugasan kerja tadi, anda juga boleh susunkan tugasan kerja anda mengikut kepentingan dan keutamaan. Contohnya, anda meletakkan tugasan kerja yang lebih penting di awal permulaan waktu kerja supaya anda dapat selesaikannya terlebih dahulu.
.
Hal ini kerana di waktu awal sesi bekerja adalah waktu otak kita masih lagi dalam keadaan segar, dan waktu ini juga sangat sesuai untuk anda fokuskan pada tugasan penting.
.
.
3. Hilangkan gangguan kerja
Tahukah anda apa yang selalu mengganggu tugasan kerja anda dari siap mengikut masa yang ditetapkan?
.
Benda paling utama yang selalu mengganggu anda di tempat kerja adalah alat komunikasi anda iaitu smartphone. Betul ke betul?
.
Anda akan selalu diganggu dengan mesej-mesej dari group whatsapp, notification dari facebook, instagram, wechat, emel dan sebagainya yang menyebabkan anda mula hilang fokus pada tugasan kerja anda.
.
Oleh itu, anda harus letakkan pengasingan antara diri anda dan smartphone anda. Letakkan telefon anda dalam mod senyap, dan simpan ia di dalam beg anda. Anda hanya boleh gunakannya selepas kerja anda selesai, atau sewaktu anda rehat. Jalan ini adalah lebih baik untuk dapatkan kerja yang produktif.
.
Selain itu, anda juga dinasihatkan agar tidak membuka laman media sosial anda di pc, komputer atau laptop di tempat kerja anda kerana ia juga boleh menjadi punca anda hilang fokus terhadap tugasan kerja anda.
.
.
4. Bahagikan tugasan kerja
Jika anda memegang jawatan yang mempunyai orang bawahan, anda boleh bahagikan tugasan kerja anda yang lebih ringan kepada orang bawahan anda. Ingat, yang lebih ringan.
.
Hal ini dapat membuatkan anda lebih fokus untuk menyelesaikan tugasan kerja yang lebih penting. Selain itu, anda juga dapat menyelesaikan tugasan kerja anda dalam masa yang ditetapkan.
.
.
5. Terapi muzik
Tidak dinafikan, sepanjang waktu bekerja akan ada waktu-waktu yang minda anda mula menunjukkan signal ia sudah mulai penat.
.
Oleh itu, muzik adalah terapi yang sangat bagus bagi minda anda. Ia boleh membuatkan otak anda yang penat dan tepu tadi menjadi aktif semula.
.
Terapi muzik ini akan mengalihkan pandangan anda dan pendengaran anda dari bunyi kesibukan dan kebingitan di tempat kerja anda. Ia juga mampu menghilangkan kekusutan dan kekacauan dalam diri anda.
.
Setelah minda anda dibawa lari oleh muzik terapi ini, anda akan dapat melakukan tugasan kerja anda dengan lebih semangat dan lebih segar.
.
.
6. Bina hubungan baik dengan rakan sekerja
Untuk mendapatkan persekitaran yang bagus, anda haruslah membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja anda.
.
Bertegur sapa lah dengan mereka sebelum anda memulakan tugasan kerja anda di pagi hari, dan bersembang bersama mereka di waktu rehat. Ini dapat mengurangkan tekanan anda dan melarikan minda anda daripada tugasan kerja.
.
Anda juga boleh meminta pendapat atau pertolongan mereka sekiranya ada kemusykilan atau masalah yang anda hadapi berkenaan tugasan kerja anda.
.
Dan sebelum anda pulang, anda juga boleh berikan sepatah dua kata ucap selamat tinggal. Semua ini penting supaya anda dapat membina hubungan yang baik dengan mereka. Jangan hidup dan buat hal sendiri sahaja seolah-olah anda bekerja berseorangan.
.
Selain itu, bagi membina hubungan baik, anda juga haruslah menuturkan kata-kata yang tidak membawa kepada salah faham. Berkomunikasi dengan jelas terhadap mereka, dan ulang semula sekiranya mereka tidak faham apa yang anda sampaikan.
.
.
7. Tidak menangguhkan tugasan kerja
Jika anda ingin menjadi pekerja yang baik, anda haruslah menyiapkan tugasan kerja anda mengikut masa yang ditetapkan.
.
Tetapi, jangan pula anda selalu menangguhkan tugasan kerja anda hanya semata-mata masa yang diberikan masih lama lagi sedangkan ia boleh diselesaikan dalam masa yang lebih singkat.
.
Jika anda menangguhkan kerja, anda hanya menyebabkan diri anda dibelenggu dengan tugasan kerja yang sama berhari-hari. Hal ini pula boleh membuatkan anda mudah berasa jemu dengan tugasan kerja tersebut. Dan akhirnya anda akan membuat kerja sambil lewa dan tidak produktif.
.
.
8. Take a break
Untuk mendapatkan hasil kerja yang terbaik bukanlah dengan straight bekerja sehingga siap tugasan kerja anda itu. Hal ini kerana apabila minda anda tidak berehat, minda anda tidak dapat menghasilkan idea yang kreatif.
.
Cara yang paling bagus adalah anda mengambil sedikit masa untuk merehatkan minda dan otot anda. Duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan badan lesu dan otot pun tegang.
.
Anda boleh gunakan masa tersebut dengan berjalan ke tandas atau ke pantry dan mengambil air untuk diminum. Berjalan juga mampu merenggangkan otot-otot anda yang tegang sepanjang anda duduk menyiapkan tugasan kerja tadi.
.
Selain mampu merenggangkan otot, anda juga dapat menyegarkan mata anda dan minda anda sebentar untuk refresh kembali segala tenaga yang hilang.
.
.
9. Berfikiran positif ketika menghadapi masalah
Jika anda berdepan dengan masalah, tarik nafas dan berfikiran positif bahawa setiap masalah ini ada jalan penyelesaiaannya.
.
Kerana jika anda berfikiran negatif, ini akan memburukkan keadaan kerana minda anda tidak mampu memikirkan jalan penyelesaiannya, malah menambahkan kekusutan dan kegusaran lagi.
.
Pekerja yang bagus adalah pekerja yang selalu berfikiran positif terhadap masalah yang dihadapi. Dengan berfikiran positif, kerja anda akan menjadi lebih produktif setelah masalah kerja tadi dapat diatasi.
.
.
10. Berikan Reward pada diri
Setelah anda menyelesaikan tugasan kerja anda, seperti tugasan kerja yang penting, anda boleh memberikan reward terhadap diri anda sendiri.
.
Hal ini adalah bagi mengenang jasa diri anda berhempas pulas menyiapkan tugasan. Selain itu juga adalah bagi menaikkan motivasi diri anda sendiri.
.
Biarlah tiada orang lain yang memberikan reward kepada anda, asalkan anda menghargai jasa diri anda sendiri.
.
.
11. Bersyukur
Anda haruslah bersyukur dengan kerja yang anda lakukan sekarang ini. Bersyukur dengan rezeki pemberian tuhan melalui pekerjaan yang anda lakukan.
.
Perasaan bersyukur terhadap pekerjaan dan rezeki yang diterima ini secara tidak langsung akan membuatkan anda menjadi lebih semangat dan produktif dalam bekerja. Oleh itu, sebelum anda memulakan pekerjaan anda, berdoalah dan ucapkan rasa syukur kepada Tuhan Pemberi Rezeki atas nikmatnya terhadap anda yang tidak putus-putus.
.
.
12. Belajar dan tingkatkan mutu kerja
Sambil anda melakukan tugasan kerja anda, anda juga boleh mendalami dan mempelajari lagi bidang tugasan anda atau selok belok kerja anda.
.
Jika anda sentiasa belajar dan terus belajar, ia juga dapat meningkatkan mutu pekerjaan anda menjadi lebih baik dari sebelumnya.
.
.
Jadilah pekerja yang lebih produktif di tempat kerja anda sempena azam tahun baru ini. Jangan sia-siakan masa kerja anda dengan perkara yang tidak berfaedah dan mengurangkan prestasi kerja anda.
.
Segalanya terletak di tangan anda untuk menentukan jalan hidup anda samada lebih baik atau tidak.
.
.
Admin – FT