6 Tatatertib Azam Tahun Baru Mengikut Islam

Azam Tahun Baru?
Beberapa hari lagi kita bakal meninggalkan tahun 2016 ini dan menyambut tahun baru. Mungkin tahun yang lagi mencabar buat kita. Bersempena tahun baru nanti, mesti ramai antara kita yang mula memasang azam mereka. Bermacam-macam azamlah yang nak dipasang.
.
Perkara ini sudah menjadi rutin bagi masyarakat kita untuk memasang azam baru untuk tahun yang baru. Nak capai ini, nak buat itu, nak jadi begini, nak tinggalkan yang itu. Namun, azam yang lepas sudah tercapai ke?
.
Atau kita ni setakat memasang azam tahun baru, setelah beberapa bulan kemudian kita sudah lupa apa yang kita azamkan sebelum ini. Ada juga orang-orang yang begini. Bila ditanya apa azam yang lepas, mereka tak ingat langsung. Hanya sekadar mengikut-ikut orang lain memasang azam. Tetapi tiada kesungguhan untuk mencapainya.
.
Di dalam masayarakat kita ni, ramai antara kita majoritinya adalah beragama Islam. Oleh itu, sebagai seorang muslim, sudah tentu kita ingin memasangkan azam kita mengikut cara ajaran Islam.
.
Bagaimana kita ingin memasang azam mengikut ajaran Islam?
.
Di sini, saya kongsikan kepada anda bagaimanakah cara-caranya supaya apa yang kita lakukan tidak menjadi sia-sia dan boleh dijadikan bekalan di akhirat kelak.
.
.
1. Bermuhasabah & Membaiki Diri
Sebelum memulakan azam yang baru, kita haruslah melihat kembali apa yang kita sudah lakukan pada tahun yang sebelum ini. Kita cuba bermuhasabah dan lihat di mana salah dan silap kita.
.
Tidak mungkin kita langsung tidak mempunyai salah dan silap sebab manusia ni bukanlah sempurna dan kita memang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan. Oleh itu, kita haruslah perbaiki diri kita kembali.
.
Jadikan diri kita lebih baik daripada sebelum ini. Semua orang diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri mereka. Ajaran Islam juga menuntut kita agar sentiasa mengubah diri kita menjadi lebih baik.
.
Sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam kita suci Al-Quran,
“Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, sehingga kaum itu sendiri mengubahnya.”
.
.
2. Memasang Niat Azam Kerana Allah Taala
Di dalam melakukan tiap-tiap perkara mestilah diiringi dengan niat kerana Allah. Jangan sekali-kali memasang niat azam baru adalah untuk diri sendiri, atau untuk ibu bapa. Tetapi, niatkan kerana Allah s.w.t.
.
Kita hidup di bumi ini juga kerana Allah, dan kita mati kemudian nanti juga kerana Allah. Allah yang telah mengaturkan perjalanan hidup kita di bumi ini, maka kita haruslah taat dan patuh kepadaNya.
.
Kita harus yakin dan percaya bahawa Allah itu Maha Melihat. Oleh itu, tunjukkan kepadaNya bahawa kita akan menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat. Lebih-lebih lagi orang yang memasang niat kerana Allah, Allah akan bantu mereka hingga berjaya selagi mana niat mereka itu tidak terpesong.
.
Niatkan azam tahun baru anda kerana Allah Taala. Kerana niat yang betul akan membawa anda ke jalan yang betul.
.
.
3. Lakukan Azam Sebagai Ibadah
Apabila kita telah niatkan azam tahun baru kita kerana Allah Taala, maka segala yang kita lakukan akan menjadi amal ibadah. Kerana apa pun perkara yang diniatkan kerana Allah akan menjadi perkara sunat.
.
Ini bermakna perkara yang kita lakukan demi Allah menjadi sunat dan kita mendapat pahala atas apa yang kita kerjakan. Faham ke faham?
.
Apabila perkara yang kita lakukan menjadi ibadah, hatta kita gosok gigi kerana Allah Taala juga menjadi ibadah sunat dan mendapat pahala.
.
Oleh itu, setelah kita memasang azam baru, kita haruslah berusaha untuk mencapaikan azam tersebut. Dengan niat yang betul, semoga ianya menjadi ibadah dan mendekatkan diri kita kepada pencipta kita. Apabila kita mendapat keredhaan Allah, In Syaa Allah, urusan kita akan dipermudahkan oleh Nya.
.
4. Jaga Hubungan Dengan Allah & Sesama Manusia
Dalam berusaha untuk menunaikan azam, kita haruslah menjada hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Jika di dalam Islam, hubungan dengan Allah dipanggil Hablum Minallah, dan hubungan dengan manusia dipanggil Hablum Minannas.
.
Kita tidak boleh memilih salah satu sahaja untuk dijaga. Tetapi kedua-duanya harus dijaga agar kita mendapat keredhaan kerana ianya saling berkait. Sepertimana jika kita mendapat keredhaan kedua ibu bapa kita, maka Allah akan meredhai kita.
.
Oleh itu, apa yang kita lakukan haruslah mencapai kedua-duanya. Berbaktilah kepada orang lain di sekeliling kita sebanyak yang mungkin, dan dalam masa yang sama kita tetap menjaga perhubungan kita dengan Allah s.w.t. Kita tidak meninggalkan suruhannya.
.
Pastikan azam yang kita pasangkan memberi kebaikan buat orang sekeliling kita supaya Allah akan bukakan jalan seluasnya untuk kita mencapai azam tersebut. Jika kita berazam hanya untuk kebaikan diri kita sahaja, kita adalah orang yang mementingkan diri sendiri.
.
Pastikan kita memasang azam untuk kebaikan bersama. Baru Allah akan bantu permudahkan urusan kita, kerana niat kita yang murni dan tulus.
.
Contohnya kita nak jadi insan berjaya kerana kita nak bantu ibu bapa kita. Kita nak dapatkan keuntungan yang besar supaya kita boleh bawa keluarga mengerjakan umrah. Atau yang seumpama ini.
.
.
5. Jangan Menunjuk-nunjuk
Apabila kita memasang azam kerana Allah, dan kita berusaha mencapainya menjadi ibadah, maka jangan sekali-kali kita menjadi bongkak dan angkuh dan cuba menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
.
Kerana azam yang dipasang bukanlah untuk ditunjuk atau dipamerkan kepada orang ramai, tetapi adalah hanya sekadar motivasi diri kita, atau pembakar semangat diri kita untuk berubah menjadi lebih baik.
.
Islam juga tidak mengajarkan kita agar bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk. Tetapi Islam mengajar kita lebih zuhud dalam apa yang kita lakukan.
.
.
6. Bersyukur
Setelah anda mencapai azam tahun baru anda, pastikan anda bersyukur kepada Allah keran atelah mempermudahkan jalan anda untuk mencapai azam anda itu.
.
Jangan jadi manusia yang tidak reti bersyukur kerana kita kena faham bahawa rezeki kita ini adalah dari Allah s.w.t. Jika kita berjaya mencapai azam kita, itu adalah rezeki yang Allah bagi.
.
Kita boleh bersyukur dengan hati, bersyukur dengan lidah dan bersyukur dengan perbuatan. Bersyukur dengan lidah adalah kita mengucapkan kata syukur seperti ‘Alhamdulilah’ kepada Allah. Kita juga boleh bertahmid kepada Allah atas segala pemberian Dia kepada kita.
.
Bersyukur dengan perbuatan pula adalah dengan kita melakukan amal jariah, bersedekah kepada golongan yang memerlukan, melakukan wakaf dan sebagainya yang menjadi tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah berikan.
.
Jika kita reti bersyukur, Allah akan limpahkan lagi rezekiNya kepada diri kita. Mungkin kita akan menjadi insan yang lebih berjaya bukan sekadar di dunia, bahkan di akhirat juga.
.
.
Oleh itu, pasangkanlah azam tahun 2017 anda, dan niatkan kerana Allah. Berusahalah untuk mencapai azam anda tanpa mengetepikan hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.
.
Semoga azam anda dapat terlaksana setelah tahun 2017 nanti berakhir.
.
.
Admin – FT