11 February, 2025

Tahukah Anda Cerita Disebalik 16 September?

Kongsikan artikel ini

ir-sofian-akademi-jl-hari-malaysia-16-september

16 September?

16 September bakal menjelang tiba sekali lagi. Untuk tahun ini, sudah 53 tahun ia berlalu. Hari di mana Persekutuan Tanah Melayu bergabung bersama negeri lain iaitu Borneo Utara (Sabah), Sarawak, dan Singapura bagi membentuk sebuah negara bernama Malaysia.

Jika tanggal 31 Ogos 1957 merupakan hari kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu, maka Hari Malaysia merupakan hari kemerdekaan bagi negeri-negeri yang bergabung bersama di bawah satu lembayung negara Malaysia. Mereka mendapat kemerdekaan awal dengan bersatu bersama Persekutuan Tanah Melayu yang membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.

Walaupun pada asalnya Hari Malaysia ini tidak disambut sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, hanya negeri Sabah dan Serawak sahaja yang menyambutnya. Namun pada tahun 2010, kerajaan telah mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Malaysia bagi memperingati dan menghargai sejarah penubuhan Malaysia ini, dan memberikan cuti am bagi seluruh negeri.

Bukan mudah Malaysia ini dibentuk kerana sepanjang pembentukannya, terdapat bermacam-macam halangan dan tentangan dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina sehinggakan pertumpahan darah berlaku. Dan akibat tentangan ini juga, pengisytiharan Malaysia terpaksa ditunda dari 1 Jun 1963 sehingga ke tarikh 16 September 1963.

Hasil siasatan dan bancian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 80% pungutan suara Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak bersetuju dan menyokong penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman. Manakala Brunei terpaksa menarik diri dari bergabung di bawah Malaysia kerana tidak mendapat persetujuan dari negerinya. Usaha murni Brunei untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8 Disember 1962.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Turut hadir anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia.

Tarikh 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.

Mari kita lihat kronologi peristiwa penubuhannya Malaysia kita yang tercinta ini.

Kronologi peristiwa Hari Malaysia:

27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik

23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah

23 Ogos 1961

Persetujuan telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah jawatankuasa antara Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.

18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak

6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur

17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan

8 Disember 1962

Berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei sehinga Brunei terpaksa menarik diri dari menyertai Malaysia

20 Januari 1963

Pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno digelar ‘Ganyang Malaysia’ sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia

12 April 1963

Sukarelawan perang dan para gerila Indonesia mula bertindak menyelinap masuk ke dalam sempadan Malaysia dan menyerang Balai Polis Tebedu di Sarawak, yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada sempadan Indonesia. Tugas peyelusupan diletakkan di bawah bahu Mejar Benny Moerdani. Namun begitu serangan berjaya dipatahkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja Malaya dan Askar Gurkha.

9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia

18 September 1963

Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina apabila Indonesia menarik kembali Duta Besarnya di Malaysia dan mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada di Indonesia. Manakala, Filipina cuba menurunkan taraf kedutaannya di Malaysia menjadi konsul sahaja

29 Disember 1963

Indonesia telah melancarkan serangan mengejut ke Pos tentera di Kalabakan, Tawau,Sabah. Serangan mengejut ini dilakukan ketika anggota tentera daripada Kompeni C, Rejimen ke-3 Askar Melayu Diraja sedang bersiap-siap untuk Solat Isyak. Serangan ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain. Serangan ini telah ditentang oleh Askar Melayu Diraja Malaya dan menyebabkan sukarelawan perang Indonesia berundur ke sempadan mereka

17 Ogos 1964

Pasukan payung terjun Indonesia mendarat di pantai barat daya Johor dan cuba membentuk pasukan gerila

2 September 1964

Pasukan payung terjun Indonesia mendarat di Labis, Johor

29 Oktober 1964

52 anggota tentera Indonesia mendarat di Pontian iaitu sempadan Johor-Melaka, tetapi ditangkap oleh pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja dan New Zealand, manakala yang selebihnya berjaya ditahan oleh Pasukan Polis Hutan di Batu 20, Muar, Johor

28 Mei 1966

Rundingan dilakukan di Bangkok, Kerajaan Malaysia dan Indonesia mengumumkan perdamaian setelah Soeharto menghantar Adam Malik sebagai wakil untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman

11 Ogos 1966

Bagi menamatkan konfrontasi, Perjanjian Pemulihan Malaysia- Indonesia ditandatangani dan dirasmikan dua hari kemudian

1966 hingga kini

Filipina masih lagi menuntut Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Sulu yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878
.
.
Lihat, betapa susahnya negara kita dibentuk, maka hargailah detik besejarah ini,. Jangan hanya jadikan ia sebagai pegangan kata-kata di mulut, tetapi tidak pegangan kukuh di hati.

Malaysia kita tanah air kita

Bersama lah kita membangunkan dan memajukan negara kita agar Malaysia terus berjaya di persada dunia.

Bersamalah kita merasakan kesyukuran kita atas kemerdekaan ini.

Bersamalah kita memajukan diri untuk terus menjadi anak Malaysia yang cemerlang dan menjadi kebanggaan negara yang kita cintai ini.

Bersamalah kita bersatu padu menjaga keharmonian dan keamanan negara Malaysia kita yang tercinta ini.

ir-sofian-akademi-jl-di-sini-lahirnya-sebuah-cinta

#disinilahirnyasebuahcinta

(Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia, wikipedia)

Admin – FT